Friday, 24 February 2012

ISTIKHARAH CINTA


Air mata yang mengalir di pipinya diseka perlahan, sunyi pagi menambah rasa sebak di hati. Cinta Ilahi yang di dambakan bukan sekadar cinta insani yang dia inginkan, bukan dia meminta untuk jatuh cinta tetapi Dia yang menghadirkan rasa cinta itu pada si dia dan kerana cinta itu dia ternoda. Ternoda hatinya dengan cinta yang tidak pasti, sedayanya dia cuba untuk mengawal namun dia hanya manusia biasa yang punya nafsu.

Iman menanggalkan telekung yang dipakainya, dia bangkit lalu berbaring di atas katilnya. Masih ada setengah jam sebelum masuk waktu subuh, hajatnya ingin melelapkan matanya sebentar tetapi hati yang bergoncang tidak membenarkannya untuk lena. Dihidupkan suis radio, frekuensi 107.20 menjadi pilihan IKIM.fm sememangnya stesen radio yang paling digemarinya.

"Bersaksi cinta di atas cinta,
dalam alunan tasbihku ini,
menerka hati yang tersembunyi,
berteman di malam sunyi penuh doa,
sebut namamu terukir merdu,
tertulis dalam sejadah cinta,
tetapkan pilihan sebagai teman,
kekal abadi hingga akhir zaman,
istikharah cinta memanggilku,
memohon petunjukmu,
satu nama teman setia,
naluriku berkata,
dipenantian luahan rasa,
teguh satu pilihan,
pemenuh separuh nafasku,
dalam mahabbah rindu".

Bibirnya diketap menahan sendu yang ingin berlagu, tangisannya mula kedengaran. Iman teresak-esak sendirian, senandung 'Istikharah Cinta' itu benar-benar meruntun hatinya. Pantas jarinya menekan punat 'off' pada radio, enggan membiarkan dirinya hanyut dalam lautan kasih yang tidak pasti.

Ya Allah... Kaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui, Kau tahu apa yang berada di lubuk hatiku. Kau yang menghadiahkan aku dengan perasaan cinta ini, maka janganlah Kau biarkan aku hanyut dengannya. Tidak aku pinta untuk mencintainya, sedangkan cinta-Mu sukar untukku gapai. Jika dia memang Kau ciptakan untukku, maka satukanlah kami dan lindungi kami dalam dugaan perasaan ini kerana aku ingin mencintainya kerana-Mu.

No comments:

Post a Comment