Monday, 5 March 2012

MENGENAL MALAIKAT

Umat Islam wajib mengetahui dan meyakini bahawa ada suatu makhluk Allah yang dijadikan daripada nur (cahaya) bernama Malaikat.

Malaikat itu banyaknya tidak terhitung. Setiap Malaikat mempunyai tugas masing-masing. Mereka taat kepada Allah alas perintah yang diberikan kepadanya.

Malaikat-Malaikat itu tidak pernah menderhakai Tuhan dalam segala perintah-Nya, mereka tetap mengerjakan apa yang diperintahkan kepada mereka.

Jadi Malaikat itu adalah makhluk Allah yang halus yang taat mengerjakan segala perintah Allah. Walaupun Malaikat itu makhluk halus, kadangkala ia boleh merupakan dirinya menyerupai manusia atau makhluk-makhluk lain dengan izin Allah s.w.t.

Kita umat Islam diwajibkan mempercayai adanya malaikat. Ada 10 Malaikat yang utama, dengan tugas yang diperintahkan kepada mereka.


A. NAMA-NAMA MALAIKAT DAN TUGASNYA

1. Malaikat Jibrail
  • Tugasnya penghantar wahyu kepada nabi-nabi dan Rasul-rasul khususnya Nabi Muhammad s.a.w.

2. Malaikat Mikail
  • Tugasnya dalam soal-soal kesejahteraan umat. Umpamanya menghantar angin, menghantar hujan. Soal-soal tanah dan soal-soal kesuburan.

3. Malaikat Israfil
  • Tugasnya dalam soal-soal akhirat umpamanya meniup angin sangkakala tanda Kiamat.

4. Malaikat Izrail
  • Tugasnya untuk mencabut nyawa makhluk di langit dan di bumi

5. Malaikat Munkar
  • Tugasnya menyoal (menanyai) orang yang telah mati di dalam kubur

6. Malaikat Nankir
  • Tugasnya sama seperti Malaikat Munkar

7. Malaikat Rakib
  • Tugasnya mencatat amalan baik pekerjaan manusia sehari-hari

8. Malaikat Atib
  • Tugasnya mencatat amalan jahat perkerjaan manusia sehari-hari

9. Malaikat Malik
  • Tugasnya menjaga Neraka Jahanam, ia juga dinamakan Malaikat Zabaniah

10. Malaikat Ridwan
  • Tugasnya menjaga syurga


B. PERBEZAAN MALAIKAT, JIN & IBLIS

1. Malaikat

Malaikat itu adalah Jisim Nurani (jisim yang sangat lembut/halus) dan ia boleh merupa dengan apa sahaja. Ia tidak bersifat seperti lelaki atau wanita dan ia sentiasa taat kepada perintah Allah. Ia mempunyai kudrat/kekuatan yang luar biasa. Ia tidak berkahwin dan tidak berzuriat dan ia tidak boleh dipanah atau ditembak.
Ayat berikut adalah dalil yang menyatakan Malaikat boleh menyerupai apa sahaja yang dikehendaki dengan izin Allah.



Ertinya:

Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka, maka Kami hantarkan kepadanya Roh dari Kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya."
(Maryam: 17)

2. Jin

Adapun Jin itu adalah daripada jisim-jisim api yang di bawah (dari api yang sangat panas). Jin boleh menyerupai apa sahaja yang dikehendakinya. Akan tetapi apabila ia menyerupai sesuatu kita  boleh memanahnya dan ia boleh mati. Jin ada lelaki dan ada perempuan dan ia berkeluarga dan mempunyai zuriat. Diantaranya ada yang mukmin dan ada pula yang kafir.

Hadis Rasulullah s.a.w menyebut :

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a: Mengenai firman Allah s.w.t yang bermaksud: Itulah mereka yang mendakwa bahawa mereka mencari jalan penghubung kepada Tuhannya. Siapakah di kalangan mereka yang paling dekat dengan Tuhan mereka dengan katanya: Ada sekelompok jin yang telah memeluk Islam, dan sebelum ini mereka disembah oleh manusia, maka orang-orang yang menyembah itu tetap sahaja menyembah mereka iaitu jin walaupun mereka iaitu tersebut telah memeluk Islam.

3. Iblis Atau Syaitan

Syaitan atau Iblis adalah satu puak daripada kalangan Jin. Ia adalah dari golongan yang murtad. Ketuanya adalah Iblis, setiap yang derhaka dari kalangan jin adalah syaitan. Tiap-tiap syaitan adalah Jin dan tiap-tiap Jin bukanlah Syaitan (mereka ini semua berketurunan).



C. ADAKAH IBLIS ASALNYA DARI GOLONGAN MALAIKAT?

1. Ada satu pendapat menyatakan Iblis adalah dari golongan Malaikat.
2. Pendapat kedua menyatakan Iblis bukan dari golongan Malaikat.

Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa Allah Ta'ala jadikan Malaikat daripada Nur, Jin dan iblis daripada api sedangkan Adam daripada tanah.

Dengan itu jelas bahawa Malaikat dijadikan daripada Nur (cahaya), sedangkan Jin Allah jadikan daripada api. Ini menunjukkan kejadian yang berlainan di antara Malaikat dan iblis.


D. MALAIKAT MENGAJARKAN TENTANG ERTI DUNIA

Jabir bin Abdullah berkata, "Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah s.a.w maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya pula sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih. Lalu dia menghampiri Rasulullah s.a.w dengan barkata: "Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia ini?"

Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda, "Dunia itu adalah impian orang yang tidur."

Bertanya orang itu lagi, "Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah?"

Bersabda Rasulullah s.a.w. "Satu kumpulan manusia yang berada di dalam Syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam Neraka Sa'ir".

Orang itu bertanya lagi, "Apakah Syurga itu?"

Bersabda Rasulullah s.a.w, "Sebagai ganti dunia untuk mereka yang menjauhkan dunia, kerana sesungguhnya nilai harga Syurga sama dengan menjauhkan dunia ini,"

Bertanya orang itu lagi, "Apakah Jahanam itu?"

Maka bersabda Rasulullah s.a.w, "Jahanam itu adalah sebagai ganti dunia bagi mereka yang mencarinya."

Bertanya orang itu lagi, "Siapakah sebaik-baik umat ini?"

Bersabda Rasulullah s.a.w, "Sebaik-baik umat ialah yang taat kepada Allah s.w.t."

Orang itu bertanya lagi, "Bagaimana yang dikatakan orang yang taat itu?"

Bersabda Rasulullah s.a.w, "Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana orang mencari kafilah."

Orang itu bertanya lagi, "Seberapakah ketentuan taat itu?"

Bersabda Rasulullah s.a.w, "Seperti kira-kira perbezaan dari kafilah".

Bertanya orang itu lagi, "Berapa jarak jauhnya dunia dengan akhirat?"

Bersabda Rasulullah s.a.w, "Hanya sekdar memejamkan mata sahaja."

Jabir melanjutkan ceritanya, "setelah orang itu pergi kami tidak lagi melihat orang itu selepas itu".

Rasulullah s.a.w bersabda, "Orang  lelaki yang datang tadi adalah Jibrail a.s, dia datang kepada kamu supaya kamu semua menjauhkan diri dari dunia dan supaya kamu mencintai akhirat.

Bersabda Rasulullah s.a.w lagi, "Sesungguhnya Allah s.w.t tidak mencipta makhluknya yang lebih dibenci selain dunia, bahkan Dia (Allah) tidak melihatnya sejak menciptakannya."

Dunia ini adalah satu alam khayalan yang mana satu masa nanti ianya juga akan musnah, jadi apalah gunanya kita mengejar dunia setelah kita tahu bahawa akhirat sahaja yang kekal.

Gunakanlah dunia ini untuk kita mengumpul bekalan amal untuk dibawa ke akhirat, janganlah kita menjadi orang bodoh, sebab orang yang bodoh hanya suka mengejar dunia. Seluruh masa  dan tenaganya dihabiskan semata-mata untuk mendapatkan dunia.

No comments:

Post a Comment