Friday, 24 February 2012

KAU YANG BERNAMA WANITA


Kau yang bernama wanita,
terciptanya engkau dengan begitu indah,
bermulanya di jannah,
membawa rahmah dan mawaddah,
terciptanya engkau kerana sunyi dan resah,
Seorang makhluk Allah bernama Adam,
kau tercipta dari rusuk kirinya yang bengkok.

Kerana itulah kau memerlukan insan bergelar Adam,
untuk meluruskanmu,
untuk melindungimu,
untuk menyayangimu,
untuk membimbingmu,
dan untuk mencintaimu.

Kau yang bernama wanita,
cantikmu bukanlah kerana parasmu,
cantikmu bukanlah kerana hartamu,
cantikmu bukanlah kerana perhiasan tubuhmu,
tetapi indahnya dirimu itu,
kerana akhlak dan pekertimu,
kerana iman dan taqwamu,
kerana kasih dan malumu,
kau wujud kerana Adam.

Tetapi kau jualah yang boleh memusnahkan Adam,
kelembutanmu bisa menggoyahkan iman,
kemanjaanmu boleh menggegar jiwa,
tangismu boleh merobohkan ego nan perkasa.

Kau yang bernama wanita,
jadilah kau seperti Khadijah,
yang menjadi kekuatan perjuangan Rasulullah,
yang menjadi penguat jiwa Nabi yang gundah,
jadilah kau seperti Aisyah,
yang bisa membuat Nabi tersenyum dan tertawa,
kerana kasih dan manjanya,
kerana rasa cemburunya,
jadilah kau seperti Asiah,
yang boleh meranapkan keangkuhan seorang lelaki,
yang boleh menundukkan ego dengan kelembutannya,
jadilah kau seperti Sumaiyah,
yang rela berkorban demi agama,
yang rela mati demi iman,
dan jadilah kau seperti Rabiatul Adawiyah,
yang kasih dan cintanya hanya pada Allah,
rukuk dan sujud hanya pada-Nya,
jiwa dan raga hanya untuk-Nya.

Kau yang bernama wanita,
perhiasan terindah dunia,
penyeri hidup bahagia,
betapa dirimu berada di tempat yang mulia,
kerana dari rahimmu lahirlah,
para pencinta dan pembela agama.

Jadikanlah malu sebagai pakaianmu,
taqwa sebagai perhiasanmu,
dan ilmu sebagai penerang hidupmu, 
jadilah kau Wanita Solehah,
yang dicemburui para Bidadari Syurga,
kerana sejatinya imanmu,
jadikanlah kelembutan itu penguat peribadi,
jadikanlah ketenangan itu penyeri hati,
jadikanlah kasih dan cintamu itu pendinding nurani,
kerana kau adalah yang bernama Wanita.


No comments:

Post a Comment