Saturday, 25 February 2012

SEINDAH MAWAR BERDURI


Mawar berduri,
harummu menarik si lebah terbang mendekati,
lenggokmu menggoda si kumbang datang menghampiri,
warnamu memikat si rerama menari,
tetapi duri berbisamu setia di sisi melindungi,
bukan sembarangan lebah yang berjaya mendekati,
bukan mudah si kumbang mahu mendekati,
perlu cukup mantap utuk terbang di sisi.

Mawar berduri,
harummu kerana tinggi ilmu agamamu,
pesonamu kerana luhur peribadi akhlakmu,
anggunmu kerana perhiasan indah malumu,
durimu yang tajam itu,
tajam kerana teguh dirimu menjaga maruah,
tajam kerana manis bicara bermadah,
tajam kerana damai nyaman pada wajah,
tajam kerana keras iman di asah.

Mawar berduri,
cantik dilihat dan dipandang,
indahnya mampu membunuh sang lebah andai salah aturannya,
pesonanya mampu menjatuhkan sang kumbang tidak terbang semula,
cintanya mampu melemahkan sang rerama tidak berdaya,
tetapi bagi mawar berduri,
kasihnya hanya untuk Ilahi,
cintanya hanya untuk dia yang mencintai-Nya,
durinya mampu menjadi penguat sayap,
bagi perjuangan sang kekasih yang teguh jiwanya,
berpasak atas nama Allah.

Mawar berduri,
awaslah dengan racun-racun yang bisa melenturkan durimu,
awaslah dengan bisikan-bisikan mesra tentang kecantikanmu,
awaslah dengan pujuk rayu yang akan menjatuhkan kelopakmu,
jangan biarkan tangan-tangan yang tidak berhak memetikmu,
jangan biarkan kelopakmu gugur di tangan manusia durjana,
jangan biarkan madumu dihisap mereka yang hina,
jadilah mawar berduri yang tajam,
yang hanya sekadar mampu dipandang,
"seindah mawar berduri".

No comments:

Post a Comment