Assalamualaikum w.b.t.
Sejahtera buat calon suamiku, moga Allah sentiasa
merahmati dan memberkati dirimu yang tidak pernah ku temui, namun
doaku tidak pernah putus mengiringi setiap langkahmu demi meraih
keredhaan-Nya.
“Seindah perhiasan dunia adalah wanita yang solehah”.
Ku mulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan
Rasulullah S.A.W kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua
muslimin di alam maya ini. Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang
kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pasanganmu dan
juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu,
insyaAllah…
Calon zaujku,
“Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara; hartanya,
keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka pilihlah hal
keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu”.
Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa
harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan oleh
mak dan abah. Tiada harta untuk kupersembahkan dalam taklik ijab
nanti. Tiada harta sebagai jaminan kau akan menerima sedikit
kesenangan apabila ijab bersaksi telah dilafazkan. Hanya ketenangan
yang mampu aku sediakan kerana aku pernah terbaca sepotong kalam suci
yang bermaksud; “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia
menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu
cenderung dan merasa tenteram kepada-Nya, dan dijadikan-Nya di
antaramu rasa kasih sayang”. (Surah Ar-Rum : 21).
Jika keturunan mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah bahawa
keluargaku bukanlah dari keturunan ternama. Namun apa yang pasti, aku
adalah keturunan mulia ayahanda Nabi Adam A.S dan bonda Hawa A.S.
sama sepertimu.
Kecantikan, itulah pandangan setiap insan. Malah, aku yakin kau
juga tidak terlepas seperti insan lain. Ketahuilah, jika kecantikan
itu yang kau inginkan daripadaku, kau telah tersalah sangka. Tiada
kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan kepadamu. Telah
aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada
tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika menginginkan
kecantikan lahiriah semata-mata.
Calon suamiku yang kuharapkan semoga mendapat keredhaan Ilahi,
Aku tidak menjanjikan aku mampu membahagiakan rumahtangga kita
nanti, kerana aku memerlukan engkau untuk bersama-sama menegakkan
dakwah Islamiah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu
untuk membangunkan sebuah markaz dakwah dan tarbiah ke arah jihad
hamba-Nya kepada pencipta-Nya yang Agung. Melalui pencarian ilmu
agama bersama, marilah kita jadikan pernikahan ini sebagai risalah
demi meneruskan perjuangan Islam. Aku masih kekurangan ilmu agama,
tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah dibekalkan ini, aku ingin
menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suamiku
untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, kau, dan
anak-anak kita.
Calon suamiku yang dirahmati,
Inginku berbicara mengenai pemberianmu kepadaku. Ketahuilah, aku
tidak menginginkan hantaran bersusun dan mas kahwin yang mahal yang
menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh
Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya maharku sebuah qalam
mulia; Al-Quran, kerana aku meyakini qalam itu mampu memimpin
rumahtangga kita dalam meraih keredhaan-Nya, bukan kekayaan dunia
yang bersifat sementara. Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah
ini melalui pernikahan, kerana ia adalah laluan untuk akau
menyempurnakan separuh tanggungjawabku terhadap agama Allah ini.
Terlalu panjang rasanya aku mencoret warkah ini. Cukuplah dahulu
buat tika ini, andai dizinkan aku akan kembali menitipkan lagi
kiriman bertintakan hati ini. Akhir bicara, maaf andai tiada
pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah merindu daripada jemu
tatkala kita disatukan.
No comments:
Post a Comment