"Setiap
mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih
teringatkan dia setiap mega hilang di ufuk barat Kalaulah tidak kerana
terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka,
nescaya aku bunuh diriku."
Setelah
Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah
digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai
empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan dididik
berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk
berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam.
Khansa telah mengajar
anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan
cabaran.
Pada
tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan
tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah
dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai
41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya
agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga
ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas
merawat dan menaikkan semangat pejuang tentera Islam.
Dengarlah
nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke medan
perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati.
Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada
tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari
seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati
ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak
pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah
perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah
kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah
bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang
binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai
orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan
teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi
orang yang beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata, "Jika
kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka
keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua
pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api
pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan
yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah
puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan
berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang
kekal."
Subuh
esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang
masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh,
kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau
syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah
memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik saja semboyan perang
berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga
bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam
melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam
mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan
Allah .
Putera-putera
Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan
nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil
mengibas- ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair,
"Hai
saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah
memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang
keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita
buktikan sedikit masa lagi."
Kemudian
ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh
anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan
semangat yang berapi-api ia bersyair,
"Demi
Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya
wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah
bertarung dan menggempur musuh-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat
keluarga Kaisar musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair,
"Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang
Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal
cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap
anak-anaknya sendiri Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah
untuk mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawa
kegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi
kehidupan yang abadi."
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang- abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah
pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak
membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang
bahaya, dan musnah mangsa oleh senjataku."
Bergelutlah
keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan
syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang.
Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan
kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di
barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di
belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat
mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian
lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang
menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lainnya. Kesempatan ini
digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang
bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari
lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam
hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari
200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil saja yang dapat menyelamatkan
diri.
Umat
Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur.
Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah
lebih kurang 7,000 orang.
Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur
empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera
Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat
anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan
tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah
dengan ucapan,
"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan
mereka, dan aku mengharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku
dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa
kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup
dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia.
Dari peristiwa peperangan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran
kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati
syahid."
No comments:
Post a Comment