Setibanya
di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai-ngintai untuk mencari sesuatu
seperti yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari ,baginda belum
lagi menjumpai apa-apa.
Kata salah seorang daripada mereka "Mungkin
tersalah tempat". Tetapi baginda menjawab "Tidak, di sinilah
tempatnya". Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke
dalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau ajaib. Jin Ifrit
menyelam agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan
memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa benda yang ajaib. Tanya
Nabi Sulaiman "Apakah kamu menyelam sehingga dasar laut" Jawab Jin
Ifrit "Tidak". Nabi Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit yang kedua
supaya menyelam sehingga ke dasar laut. Setelah puas menyelam dan
mencari benda-benda yang di katakan oleh Nabi Sulaiman, Jin Ifrit yang
kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan ia melaporkan kepada
Nabi Sulaiman.
Perdana
Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga
Nabi Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat
izin Nabi Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam
laut. Tidak lama kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang sangat
cantik. Kubah tersebut mempunyai empat penjuru, setiap penjuru
mempunyai pintu. Pintu pertama diperbuat daripada mutiara, pintu kedua
diperbuat daripada zamrud berwarna merah, pintu ketiga diperbuat
daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat daripada zabarjad.
Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air tidak masuk
ke dalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas.
Dengan
kuasa yang diberikan oleh Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut naik
ke darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman
melihat kubah tersebut dengan penuh takjub di atas kebesaran Allah.
Baginda berangkat untuk melihat kubah tersebut, setelah menjenguk ke
dalam di dapati ada seorang pemuda berada di dalamnya. Pemuda tersebut
masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke darat kerana
asyik bermunajat kepada Allah. Nabi Sulaiman memberi salam kepada
pemuda tersebut.
Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan
terkejutnya apabila melihat orang ramai sedang berada di situ. Nabi
Sulaiman memperkenalkan dirinya kepada pemuda itu bahawa beliau adalah
Nabi Allah Sulaiman. Pemuda itu bertanya "Dari manakan mereka ini dan
bagaimana mereka datang?". Pemuda itu merasa hairan dan setelah
menjenguk keluar dia mendapati bahawa kubahnya telah berada di darat.
Nabi Sulaiman memberitahu pemuda itu bahawa mereka datang kerana
diperintahkan oleh Allah untuk melihat keajaiban yang dikurniakan Allah
kepadanya.
Setelah
mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman meninjau ke dalamnya untuk
melihat benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya. Keindahan yang
terdapat di dalam kubah itu sungguh menakjubkan. Nabi Sulaiman bertanya
kepada pemuda tersebut bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini
yang terletak di dasar laut. Pemuda tersebut menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya selama 70 tahun. Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang buta.
Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya
dan memaklumkan bahawa ibunya telah rela di atas khidmat yang diberikan
olehnya. Ibunya berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat kepada Allah.
Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula
meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah
memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela di atas khidmat
yang diberikan olehnya.
Bapanya telah berdoa sebelum meninggal
dunia supaya anaknya di letakkan di suatu tempat yang tidak dapat
diganggu oleh syaitan.
Doa kedua dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Allah.
Pada suatu hari ketika pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia
terlihat sebuah kubah yang sedang terapung-apung di tepi pantai. Ketika
pemuda tadi menghampiri kubah tersebut.
Ada
suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik
sahaja ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia bergerak
dengan pantas dan tenggelam ke dasar laut. Tidak lama kemudian muncul
satu lembaga seraya memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang di
utuskan Allah. Malaikat itu memaklumkan bahawa kubah itu adalah
kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada orang tuannya dan beliau boleh
tinggal di dalamnya selama mana dia suka, segala makan dan minum akan
dihidangkan pada bila-bila masa ia memerlukannya. Malaikat itu
memaklumkan bahawa dia diperintahkan Allah untuk membawa kubah tersebut
ke dasar laut. Semenjak dari itu pemuda tersebut terus bermunajat
kepada Allah sehingga hari ini.
Nabi
Sulaiman bertanya kepada pemuda itu "Berapa lamakah kamu berada di
dalam kubah ini" Pemuda itu menjawab "Saya tidak menghitungnya tetapi
ia mula memasukinya semasa pemerintahan Nabi Allah Ibrahim a.s lagi".
Nabi Sulaiman menghitung ". Ini bermakna kamu telah berada di dalam
kubah ini selama dua ribu empat ratus tahun". Nabi Sulaiman berkata "Rupa mu tidak berubah malah sentiasa muda walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun lamanya". Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu samada dia mahu pulang bersamanya". Jawab pemuda tadi "Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini". Nabi
Sulaiman bertanya"Adakah kamu ingin pulang ke tempat asal mu" Jawab
pemuda itu "Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku". Nasi Sulaiman pun
memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ke tempat
asalnya.
Setelah
kubah tersebut diletakkan ke tempat asal, Nabi Sulaiman berkata kepada
kaumnya "Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan oleh
Allah. Lihatlah betapa besar balasan yang Allah berikan kepada orang
yang taat kepada orang tuanya dan betapa seksanya orang yang menderhaka
kepada kedua ibu bapanya". Nabi Sulaiman pun berangkat pulang ke
tempatnya dan bersyukur kepada Allah Taala kerana telah memberi
kesempatan kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib.
No comments:
Post a Comment