Maka
salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu
malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki
keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki
berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."
Pada
keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan
kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna
hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan
pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak
dapat dilaksanakan."
Maka
Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk
memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan
diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya
lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan
madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian
Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah
mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan,
lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas
itu, kemudian ditinggalkannya.
Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar
semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali
berturut-turut.
Maka
berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun
meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas
itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika
dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang
sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil
itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar
rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung
itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas
burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata,
"Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak
pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi
itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak
boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan
perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya
lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu.
Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi
dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas
kejadian itu, Nabi meneruskan penjalannya. Tidak lama kemudian dia
bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun
bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang
menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka
kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam
doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu
sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku
erti semuanya ini."
Dalam
mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama
engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit
tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya,
maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua;
semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan
nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka
janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu,
maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri
berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal
seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul
membuat ghibah."
Saudara-saudaraku,
kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab
kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita
sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah
mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal
orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu
akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di
akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang
tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah,
sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di
dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."
Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.
No comments:
Post a Comment