Dalam
sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan
seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan
kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.
Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai
Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang
menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan
matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut
kepada-Mu."
Akhirnya
Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka
dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada
Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin
Fulan sebab sehelai rambut."
Dalam
sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari
kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan
suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat
menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman
yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat
berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada
buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi
menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)
Sebaik
saja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka
dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara
nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan.
Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan
ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi saja yang akan berkata, "Umatku, umatku."
Beliau
ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan
keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad
berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak
orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi
hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa,
supaya engkau kembali."
No comments:
Post a Comment