Monday 27 February 2012

ERTI PERSAHABATAN

Hargailah ikatan persahabatan yang sudah terbentuk dihadapanmu, hargailah pengorbanan dan keikhlasan mereka yang sanggup menerima dirimu dalam ruangan hidup mereka. Bersahabat itu bukan untuk menyusahkan tetapi untuk membantu dan mewarnai hidup kita, luahkan isi hatimu dan permasalahanmu untuk didengari oleh mereka. Insya'ALLAH! mungkin dalam beribu ada sekurang-kurangnya satu yang akan setia membantumu, mereka yang berada disekelilingmu bukannya siapa tetapi hanya manusia biasa sepertimu yang dahagakan keikhlasan kejujuran hatimu walaupun adakalanya diri sendiri yang terluka.

Bersyukur saat-saat kita dirundum masalah bahkan hati tidak tenteram, muncul sahabat yang memberi sentuhan persahabatan. Ibarat dapat membaca galau di hati ini. Masalah itu pelbagai, akan tetapi apabila sebuah persahabatan diganggu gugat itu lebih menyakitkan. Entah di mana silapnya, termenung panjang.

Hati manusia biasa mudah terluka bila putus cinta, tapi hati manusia luar biasa, berjuang di jalan Allah, sarat dengan cinta pada Allah, sahabat itu juga permata dan kekasih hati. Sahabat antara' puzzle' yang melengkapkan kehidupan manusia, setiap sesuatu ada ujiannya. tatkala hati terluka kerana sahabat, jangan dibiarkan syaitan membisikkan keretakan. Kita harus bijak mendidik emosi, beri masa pada diri dan beri masa pada sahabatmu.

Kita mungkin sesekali terluka,bahkan mungkin berkali-kali.terluka dalam ajakan dakwah, terluka dalam meneruskan agenda tarbiyah bahkan terluka dalam menjaga sebuah ukhwah. Ukhwah yang selama ini digambarkan ceria tiba-tiba beransur mendung, sepi seketika. Ini baru satu dua ujian buatmu wahai pembawa agam, bukan semuanya berita sedih dan duka.

Ketahuilah diri kita dan sahabat kita tidak sama. ada ruang, dia perlu bersendiri. ada ketika, individu lain dijadikan luahan hati. ada ketika, dia datang minta dinasihati. Ada masa dia jadi emosi, pelbagai ragam sungguh sebuah persahabatan ini.

Lukanya hatimu saat ini adalah kerana cintamu padanya kerana Allah, sama-sama ingin ke Syurga sama-sama ingin menjauhi panasnya luka api neraka. Bagi dirimu yang terluka, rawatilah. Luka itu akan sembuh semula, kepada Allah kita mengadu cerita. Moga ketenangan buat diriku, sahabatku dan kepada yang membaca. Jangan pernah serik mengajak manusia pada kebaikan, jangan pernah serik dengan hubungan persahabatan. Buatlah sesiapa saja disisimu tersenyum walau dirimu sendiri yang terluka, kerana ada Allah untukmu yang akan merawat luka itu. Insya'ALLAH.


ERTI PERSAHABATAN
Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri tetapi dalam kita bersendiri dan kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita.

Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat, begitu juga dia tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita, kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya dan kita tidak memberi dia peluang untuk menerang keadaannya.

Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri. Kita terlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan, 'memaksa' dia menerima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita tentang perasaannya? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa tetapi kita sering terlupa. Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita pada waktu kita memerlukan dia.

Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kita luahkan, dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita.

Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah?

Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan? Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan kawan kerana dia juga seorang manusia; dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa.

Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan, jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Disebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Disebalik kesenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan. Kita tidak tahu, tetapi jika kita cuba jadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.

Renungilah! terima kasih pada semua sahabat dan sahabiahku, maafkanlah diriku andai ada kata-kata yang melukai hati-hati kamu selama ukhwah kita terjalin disini.




Sahabat
masihkah dikau ingat
muqadimah perhubungan ini
terbinanya tanpa coretan kata
pada helaian warkah
bukan pada titik pertermuan
akan tetapi
kemuliaan kalimah salam kuutuskan
sejarah kehidupan jadi perantaraan
tersimpan diruang memori
bukti laluan persahabatan
terjalin dalam simpulan persahabatan

Sahabat
kini kumasih berjalan
dipentas hakiki persahabatan ini
merentasi detik-detik tiba
kadang membawaku ke lorong lamunan
pabila jiwaku disinggah kesepian
menemani bersendirian

Sahabat
andai wadah persahabatan ini
kalamku merangkai dusta
langkah ku mencalar luka
bisikkan hasad merobek hatimu
susunan jari kuhulurkan
salam kemaafan kuluahkan

Sahabat
tiada lagi harapan sebesar gunung
tiada rindu untuk kulayarkan
melainkan untuk persahabatan ini
bagai air mengalir
tiada perhentian






Sumber,
azita_idris79

No comments:

Post a Comment