Seorang wanita di lapangan terbang sedang menunggu waktu
penerbangannya. Sambil menunggu, dia makan biskut yang dibelinya sebelum
itu dan membaca buku cerita. Sedang dia makan dia terperasan yang
lelaki disebelahnya turut mengambil biskut dari bungkusan yang sama yang
terletak di sebelahnya.
Setiap keping biskut yang dia ambil lelaki itu turut mengambil sama. Di dalam hati wanita itu menyumpah-nyumpah lelaki itu.
“Alangkah tak malunya lelaki ni….. dah la tak mintak dari aku…. makan
sama banyak dengan aku pulak tu…Pencuri!! ” rungut wanita itu dalam
hati.
Dalam pada itu, lelaki itu dengan muka yang tenang terus dengan
perbuatannya. Hinggalah sampai ke biskut terakhir yang terdapat dalam
bungkusan itu. Wanita itu menunggu reaksi dari lelaki itu.
Sambil
tersenyum lelaki itu mengambil biskut yang terakhir itu lalu dipatah dua
lantas memberikan separuh darinya kepada wanita itu. Wanita itu menjadi
begitu marah namun dia tetap menahan dirinya dari memarahi lelaki itu.
Sambil merampas dengan kasar biskut yang separuh itu dan menunjukkan
mukanya yang masam mencuka, wanita itu berkata dalam hatinya.
“Berani sungguh lelaki ni. Memang muka tak malu. Pencuri besar.” kata hatinya dengan marah.
Kedua-dua wanita dan lelaki itu terus duduk sehingga panggilan untuk
menaiki pesawat untuk wanita itu sampai. Sambil menarik nafas lega
seolah baru lepas dari satu kejadian ngeri wanita itu bergerak menaiki
pesawatnya.
Apabila dia sampai di tempat duduknya beliau membuka beg kecilnya
untuk mengambil barang.
Alangkah terkejutnya dia apabila melihat satu
bungkusan biskut berada di dalam begnya dan ia masih elok belum terbuka.
“Jika biskut ini ada dalam beg aku jadi bermakna biskut yang aku makan tadi…” getusnya.
Ya.. .biskut yang dimakannya tadi adalah kepunyaan lelaki itu.
Alangkah malunya dia atas segala tindakannya terhadap lelaki itu. Lelaki
itu telah sanggup berkongsi biskut dengannya sehingga biskut yang
terakhir biarpun dari awal lagi wanita itu telah menunjukkan reaksi
marahnya.
Untuk meminta maaf sudah terlambat namun hatinya penuh kekesalan
kerana bersifat kedekut dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Kini
dia menyedari bahawa dialah pencuri biskut yang sebenar.
Moral:
Jangan buruk sangka dengan orang. Keindahan yang hakiki datangnya dari hati yang ikhlas bukan dari pandangan seseorang
No comments:
Post a Comment