Beberapa ketika yang silam, ada seorang ikhwah yang mempunyai seorang
anak lelaki bernama Mat. Mat membesar menjadi seorang yang lalai
menunaikan suruhan agama. Meskipun telah berbuih ajakan dan nasihat,
suruhan dan perintah dari ayahnya agar Mat bersembahyang, puasa dan
lain-lain amal kebajikan, dia tetap meninggalkannya.
Sebaliknya amal kejahatan pula yang menjadi kebiasaannya. Kaki judi,
kaki botol, dan seribu satu macam jenis kaki lagi menjadi kemegahannya.
Suatu hari ikhwah tadi memanggil anaknya dan berkata, “Mat, kau ni
terlalu sangat lalai dan berbuat kemungkaran. Mulai hari ini aku akan
pacakkan satu tiang di tengah halaman rumah kita.
Setiap kali kau berbuat satu kejahatan, maka aku akan benamkan satu
paku ke tiang ini. Dan setiap kali kau berbuat satu kebajikan, sebatang
paku akan kucabut keluar dari tiang ini.” Bapanya berbuat sepertimana
yang dia janjikan, dan setiap hari dia akan memukul beberapa batang paku
ke tiang tersebut
Kadang-kadang sampai berpuluh paku dalam satu hari. Jarang-jarang
benar dia mencabut keluar paku dari tiang. Hari bersilih ganti, beberapa
purnama berlalu, dari musim rebut tengkujuh berganti kemarau panjang.
Tahun demi tahun beredar lepas. Tiang yang berdiri megah di halaman kini
telah hampir dipenuhi dengan tusukan paku-paku dari bawah sampai ke
atas. Hampir setiap permukaan tiang itu dipenuhi dengan paku-paku. Ada
yang berkarat lepat dek kerana hujan dan panas.
Setelah melihat keadaan tiang yang bersusukan dengan paku-paku yang
menjijikkan pandangan mata, timbullah rasa malu dan keinsafan dalam diri
Mat kerana selama ini bergelumang dalam dosa dan noda. Maka dia pun
berazamlah untuk memperbaiki dirinya. Mulai detik itu, Mat mula
sembahyang. Hari itu saja lima butir paku dicabut ayahnya dari tiang.
Besoknya sembahyang lagi ditambah dengan sunat-sunatnya. Lebih banyak
lagi paku tercabut. Hari berikutnya Mat tinggalkan sisa-sisa maksiat
yang melekat. Maka semakin banyaklah tercabut paku-paku tadi. Hari demi
hari,semakin banyak kebaikan yang Mat lakukan dan semakin banyak maksiat
yang ditinggal, hingga akhirnya hanya tinggal sebatang paku yang
tinggal melekat di tiang.
Maka ayahnyapun memanggillah anaknya dan berkata: “Lihatlah anakku,
ini paku terakhir, dan akan aku cabutkannya keluar sekarang. Tidakkah
kamu gembira?” Mat merenung pada tiang tersebut, tapi disebalik
melahirkan rasa gembira sebagai yang disangkakan oleh ayahnya, dia mula
menangis teresak-esak. “Kenapa anakku?” tanya ayahnya, “aku menyangkakan
tentunya kau gembira kerana semua paku-paku tadi telah tiada.” Dalam
nada yang sayu Mat mengeluh, “Wahai ayahku, sungguh benar katamu,
paku-paku itu telah tiada, tapi aku bersedih kerana parut- parut lubang
dari paku itu tetap kekal di tiang, bersama dengan karatnya.”
Ikhwah dan akhawat yang dimuliakan, Dengan dosa-dosa dan kemungkaran
yang seringkali diulangi hinggakan menjadi suatu kebiasaan (habit), kita
mungkin boleh mengatasinya, atau secara berangsur-ansur
menghapuskannya, tapi ingatlah bahawa parut-parutnya akan kekal. Dari
itu, bilamana kita menyedari diri ini melakukan suatu kemungkaran,
ataupun sedang diambang pintu habit yang buruk, maka berhentilah
serta-merta. Kerana setiap kali kita bergelimang dalam kemungkaran, maka
kita telah membenamkan sebilah paku lagi yang akan meninggalkan parut
pada jiwa kita, meskipun paku itu kita cabut kemudiannya. Apatah lagi
kalau kita biarkan ianya berkarat dalam diri ini sebelum dicabut.
Lebih-lebih lagilah kalau dibiarkan berkarat dan tak dicabut.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment