Friday 16 March 2012

SIAPA LEBIH BAGUS

Syeikh Ibnu Khafif ialah seorang ahli sufi dari Parsi. Dia mempunyai dua orang murid yang mempunyai nama yang sama iaitu Ahmad. Untuk memudahkannya, dia memanggil Ahmad Tua untuk yang lebuh tua umurnya dan Ahmad Muda untuk yang lebih kecil. Antara dua kanak-kanak itu, Ibnu

Khafif lebih menyayangi Ahmad Muda. Tindakannya ini tidak disenangi murid-murid lain. Mereka beranggapan Ahmad Tua lebih bijak dan berdisiplin berbanding Ahmad Muda.

Ibnu Khafif ingin menunjukkan sesuatu pada mereka. Pada suatu hari, dia membawa murid-muridnya ke rumah. Di hadapan rumahnya, terdapat seekor unta yang sedang tidur.

“Ahmad Tua, ke mari! Angkat unta itu ke atas loteng sekarang,”Ibnu Khafif memberi arahan.

Ahmad Tua garu kepala. “Mustahil, Tuan Guru. Unta itu kan besar. Mana boleh saya angkat sorang-sorang ke atas loteng.”

“Tak apa, cukuplah tu. Ahmad Muda, ke mari!” Ibnu Khafif memanggil Ahmad Muda pula. “Buat sebagaimana yang saya suruh tadi.”

Tanpa berkata apa-apa, Ahmad Muda terus menyingsing lengan baju dan mengetatkan ikatan pinggangnya. Kemudian dia mencangkung ke arah unta yang sedang tidur. Dia meletakkan kedua-dua tangannya di bawah tubuh unta itu dan…

“Eeergh!!!” Dengan segala kudrat yang ada Ahmad Muda cuba mengangkat unta tersebut. Usahanya sia-sia sahaja. Unta itu sedikit pun tidak bergerak, maklum saja saiz haiwan itu yang besar manakan mampu diangkat oleh seorang kanak-kanak.

“Ahmad Muda. Cukuplah,” Ibnu Khafif menyuruhnya berhenti.

Ahli sufi itu memandang anak-anak muridnya dan berkata, “Kamu dah nampak, kan? Walaupun kamu lihat Ahmad Muda macam lurus bendul, itu tidak bermakna dia bodoh. Dia telah menjalankan tanggungjawab dnegan sedaya upaya walaupun ia kelihatan mustahil. Sedangkan Ahmad Tua hanya memberi alasan dan tidak mahu langsung berusaha. Antara kamu, siapa yang lebih bagus?” tanya
Ibnu Khafif kepada mereka.

Pelajar-pelajarnya terdiam. Mulai hari itu, mereka mula menghormati Ahmad Muda.

No comments:

Post a Comment