Friday 16 March 2012

TIGA ORANG PENGEMBARA

Suatu malam tiga orang pengembara memacu kuda merentasi padang pasir. Ketika melintasi sebatang sungai yang kering kontang, para pengembara itu terdengar suatu suara mengarahkan mereka berhenti.

Mereka patuh pada arahan itu. Suara itu kemudian menyuruh mereka turun dari kuda dan mengutip batu-batu yang terdapat di dasar sungai. Ketiga-tiga pengembara mengagau di dalam gelap mengutip batu-batu kerikil dan memasukkannya ke dalam poket.

Suara misteri itu seterusnya berkata, “Kamu telah ikut arahan aku. Esok kamu akan berasa gembira dan juga sesal. Sekarang tinggalkan tempat ini”

Ketiga-tiga pengembara memacu kuda mereka hingga ke hujung padang pasir. Apabila matahari memancar keesokkannya, pengembara-pengembara itu menyeluk poket masing-masing. Alangkah terkejutnya mereka, batu-batu yang mereka kutip malam tadi telah berubah menjadi batu permata berharga!

Seketika itu juga mereka teringat pada amaran yang dikeluarkan oleh suara tersebut, “Kamu akan gembira dan kesal”. Betul, mereka gembira kerana mendapat batu permata tapi kesal kerana tidak mengambil lebih banyak lagi.

Begitulah manusia, mereka memang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.

No comments:

Post a Comment