Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul
Hassan yang pergi haji di Baitul Haram, di waktu tawaf tiba-tiba ia
melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.
"Demi Allah belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita
itu, tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih
hati."
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu
ia bertanya; "Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap
terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau dan
seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."
Abu Hassan bertanya; "Bagaimana hal yang merisaukanmu?"
Wanita itu menjawab; "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih
kambing korban dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh
bermain dan yang satu masih menyusu dan ketika aku bangun untuk membuat
makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya; "Hai
adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih
kambing?"
Jawab adiknya; "Baiklah kalau begitu?"
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu dan
kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan
lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya
pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan
bayiku untuk keluar mencari suamiku. Tiba-tiba bayiku merangkak menuju
ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan
tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya.
Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di
daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya dan kini
aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."
Lalu Abul Hassan bertanya; "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?"
Wanita itu menjawab; "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara
sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada
jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal
itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya
tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."
Demikianlah cerita
di atas, satu cerita yang dapat dijadikan teladan di mana kesabaran
sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang
mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan
dari Allah kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam
sebuah hadis Qudsi;
"Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang
Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar,
melainkan Syurga baginya."
Begitu juga mengeluh, perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda;
"Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabdanya pula; "Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliah dan orang
yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya
bagi pakaian dari wap api Neraka." (Riwayat oleh Imam Majah).
P/S; Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.
No comments:
Post a Comment